Aku ada lapan beradik, yang masih hiduplah, tak campur yang dah meninggal dunia, dan aku adalah anak yang ketujuh daripada lapan adik-beradik itu.. Aku lahir ketika keluarga aku masih dalam keadaan susah, tapi alhamdulillah, keadaan lebih baik daripada zaman kakak-kakak dan abang-abang aku dulu..
Akak-akak dan abang-abang aku selalu kata ayah tu garang, tak boleh salah sikit mesti kena luku kepala.. Ayah pun dulu sebenarnya tak banyak cakap, muka serius sepanjang masa, mengikut kata akak-akak dan abang-abang akulah.. Tapi diorang pun faham kenapa ayah macam tu.. Orang susah la katakan.. Musti la dia stress memikirkan nak bagi makan kat anak-anak, nak kasi pelajaran kat anak-anak, hutang sana-sini, dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.. Dah la zaman dulu-dulu bukan ada bantuan sangat kan.. Kalau orang susah zaman skang boleh jugak mintak bantuan bersamamu tv3 ke, jabatan kebajikan masyarakat ke hape ke kan..
Tapi aku rasa aku amat bernasib baik sebab sepanjang ingatan aku aku jarang sekali menerima ‘lukuan’ daripada ayahku itu.. Mungkin sekali kot, itupun sebab aku mengenakan adik aku dengan menarik bantal ketika dia ingin berbaring, menyebabkan kepalanya benjol kerana terhentak ke lantai.. Hahaha evil sangat kan tindakan seorang kakak yang sedemikian rupa, tapi aku ingat masa tu cuma nak main-main, tak sangka pula keadaan boleh menjadi parah hahaha.. Padan muka aku..
Selain itu aku rasa ayah sebenarnya adalah lebih kepada tempat aku bermanja, dan penyelamat daripada tindakan-tindakan kasar mak aku yang sebenarnya berpunca daripada kenakalan aku sendiri.. Masih aku ingat aku terselamat daripada ditalipinggangkan oleh mak sebab aku ponteng sekolah, kerana ayah balik ke rumah sejurus sebelum mak cuba mentali pinggangkan aku, jadi aku dengan pantas berlari-lari ke arah ayah aku minta diselamatkan.. Melihatkan kelibat ayah terus mak membatalkan niatnya untuk mentali pinggangkan aku, lantas akupun terselamat..
Aku juga masih ingat ketika mak marah-marah sebab aku lupa untuk mengangkat kain jemuran, yang mana merupakan salah satu pantang besar dalam hidupnya, sebab dia merupakan seorang insan yang sangat pembersih, hatta jikalau baju yang disidai itu terkena hujan sedikitpun akan dibasuhnya semula.. Dahla masa tu belum ada mesin basuh lagi, jadi bayangkan apabila terpaksa membasuh semula baju-bajuan yang bertimbun yang dihasilkan kami adik-beradik, dengan menggunakan tangan pulak tu, mestilah beliau hangin kan.. Lalu melihatkan mak yang tak sudah-sudah berleter setelah beberapa kali aku melakukan kesalahan tersebut, ayah terus menghidupkan enjin motor dan mengajakku ke rumah kakakku, kerana beliau tidak senang dengan leteran mak terhadapku itu..
Aku juga masih ingat dulu ayah sering membawaku pergi memancing, walaupun hanya di kawasan-kawasan berdekatan rumah kerana kawasan rumahku dulu adalah bekas lombong bijih, jadi ada beberapa lombong di situ yang sesuai dijadikan tapak memancing.. Ada sekali aku terpancing ayam jiran yang tinggal berdekatan lombong itu, yang membuatku begitu takut dimarahi ayah atau jiran tersebut.. Kalau nak diikutkan bukan salah aku, sapa suruh ayam tu makan umpan pancing aku kan.. Aku tak berniat pun nak pancing ayam, aku nak pancing ikan keli, nape dia yang makan??? Esoknya ayam tu mati.. Tapi ayah tetap kool masa tu.. Dia ada lah bercakap-cakap dengan tuan punya ayam tersebut tapi aku sendiri tak pasti apa yang diorang cakapkan.. Dan yang penting ayah tetap tak serik membawaku pergi memancing..
Ayah juga adalah tempat aku belajar mengaji.. Sebenarnya kitorang dihantar ke sekolah agama rakyat untuk belajar mengaji tapi ayah tak puas hati dengan cara pengajaran diorang, lalu kitorang adik-beradik terus belajar mengaji dengan ayah.. Dan Alhamdulillah, aku tamat belajar al-Quran masa aku sekolah rendah lagi.. Bukan setakat mengaji, malah dengan tajwidnya sekali.. Satu kebanggaan untuk orang kampung macam aku..
Malah sehingga dewasa ayah merupakan tempat untuk kami adik-beradik merujuk hal ehwal agama.. Kalau ada apa-apa perkara yang kami tak pasti, dah tentu kami akan bertanya kepada ayah, dan biasanya ayah akan jawab dengan panjang lebar, kadangkala beserta ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menyokong perkara tersebut, hanya untuk memastikan kami betul-betul memahami apa yang dikatakannya itu..
Satu perkara yang lucu tentang ayah, ayah selalu lupa nama-nama anaknya, termasuk aku.. Masih aku ingat ketika ayah ingin mendaftarkan aku masuk ke sekolah rendah, dan si cekgu bertanyakan nama penuh aku, ayah terpaksa memanggilku ke hadapan kelas semata-mata untuk bertanyakan nama penuh aku.. Mesti cekgu aku tu pun hairan macamana ayah aku boleh tak ingat nama aku.. Ada lagi sekali kawan aku telefon ke rumah dan meminta untuk bercakap dengan z*****, iaitu nama aku.. Lantas ayah aku memanggil aku, bukan kerana panggilan itu untuk aku, tapi sebab ayah tak tau siapa z***** yang dikatakan kawan aku tu.. Boleh???
Tapi yang hairannya ayah masih boleh mengingat ilmu-ilmu agama yang dipelajarinya dari belasan tahun dahulu.. Dan dia masih boleh memperkatakan mengenainya sehingga kini.. Malah kalau berdebat ayah masih boleh mengeluarkan surah-surah dan hadis-hadis berkaitan, menunjukkan ingatan beliau yang kuat.. Lantas apa yang membuatkan beliau boleh melupakan nama anak-anaknya ini?? Hairan.. hairan..
Tapi aku tak pernah kesah.. Mungkin masa dalam kelas yang dia panggil aku ke depan untuk tanya nama aku tu aku sedikit malu kerana takut dianggap anak angkat (hehehe), tapi kebanyakan masanya aku langsung tak kesah sebab aku tau, sangat dan yakin, betapa ayah sayangkan aku, dari riak wajahnya dari dulu sampai sekarang..
Sesungguhnya riak-riak gembiranya bila membawa aku bersiar-siar menaiki Honda Cub masa aku kecil dulu walaupun beliau kepenatan bekerja siang dan malam, riak-riak gembiranya bila aku bagitau keputusan SPM dan masa aku bagitau aku dapat masuk U, riak-riak kesedihan dia masa menghantar aku masuk U, keriangannya tiap kali aku balik, keriangan dan kesyukurannya di majlis konvokesyenku, kesedihan bercampur kegembiraannya ketika menyerahkan aku ke tangan suamiku, semuanya, tidak akan kulupakan sehingga ke akhir hayatku..
Dan sesungguhnya ayah adalah yang terbaik untuk kami, kerana walau mungkin ayah tidak memberikan kami harta benda secukupnya, tapi ilmu dan kasih sayang yang ayah berikan lebih dari cukup untuk kami, dan InsyaAllah, tidak akan kami sia-siakan..
Selamat hari bapa, ayah!! Dan terima kasih untuk segalanya.. Sayang ayah!!!!
