Bekerja di tempat yang jauhnya 50km dari rumah, aku merupakan pengguna jalanraya yang tegar, terutama MRR2 dan Lebuhraya PLUS menuju ke selatan..
Aku kurang rungutan tentang lebuhraya PLUS kerana lebuh raya tersebut kurang sibuk pada waktu-waktu biasa kecuali menjelang cuti panjang di mana orang-orang bandar biasanya berebut-rebut hendak pulang ke kampung masing-masing bagai tiada hari esok, menyebabkan kesesakan luar biasa, terutama apabila ditambah dengan hujan yang selebat-lebatnya..
Cuma satu kelemahan lebuh raya tersebut aku rasa adalah kerana pengguna perkhidmatan Touch n Go yang selalu terhegeh-hegeh hendak mengeluarkan kad masing-masing hanya setelah sampai di plaza tol, berbanding aku yang apabila terlihat sahaja bumbung plaza tol tersebut dari jauh sudah bersiap sedia dengan kad tersebut di tangan..
Sesungguhnya tabiat mengeluarkan kad Touch n Go pada saat-saat akhir itu amatlah tidak wajar kerana mampu menyusahkan orang lain, di mana aku sendiri pernah mengalaminya apabila pemandu di hadapan aku hanya terdetik untuk mengeluarkan kad tersebut apabila sudah sampai ke pondok tol itu, malangnya beliau tidak berjaya menjumpainya, sehingga menyebabkan beliau keluar dari kereta dan cuba melihat-lihat di bawah tempat duduk kereta, ya di pondok tol tersebut.. Kemudian aku yang malang ini terpaksalah mengundurkan semula kereta dan pergi ke lorong yang lain sambil memandang beliau dengan pandangan yang tajam dan kejam sambil berkata “kalau aku pijak mampoih dah dia ni” di dalam hati, sementelah beberapa minit penantianku agar beliau menjumpai kad Touch n Go beliau tidak berhasil..
Nah jikalau beliau bersiap sedia dari awal sudah tentu beliau dapat mengesan kehilangan kad itu sedari awal, justeru beliau boleh berhenti di lorong kecemasan atau kawasan rehat untuk mencari kad itu, justeru kejadian memalukan yang menyebabkan perjalanan beliau, aku sendiri dan pemandu-pemandu lain terganggu itu tidak akan berlaku.. Semudah itu..
Mengenai MRR2 pula, boleh dikatakan aku mempunyai hubungan cinta-benci (love-hate relationship) dengan lebuh raya ini.. Aku amat mempunyai masalah dengan jalan ini, dari segi jalannya dan juga pemandu-pemandu lain yang menggunakannya..
Dari segi jalan, MRR2 memanglah tidak memuskan hati berbanding kos pembinaannya yang melebihi RM238 juta, ditambah pula dengan kos membaik pulih keretakan sebanyak RM70 juta tidak lama dahulu.. Dengan lubang yang punyalah mengambil masa untuk dibaiki, juga penutup-penutup lubang (yang dikorek untuk tujuan apa aku tak tahu) yang amatlah berselerakan sehingga kalau nak memecut pun terpaksa mengelak di sana sini.. Bayangkan kalau aku kerja sejauh 50 km, takkanlah aku nak memandu 50km/j, pukul berapa baru aku nak sampai kan..
Pemandu-pemandunya pula tak kurang hebatnya.. Sudahlah jalan tersebut sememangnya akan jem sementelah penggunanya ramai, terutama bagi perjalanan menghala ke Ampang pada waktu puncak.. Tetapi yang paling menyakitkan hati adalah pemandu-pemandu yang tergolong dalam jenis oh-aku-sorang-je-yang-dah-lambat-pegi-keje-so-korang-semua-tepi-sikit.. Aku pun tak faham kenapa ada manusia dilahirkan dalam jenis ini.. Tak pernah terfikirkah mereka, tindakan menggunakan lorong kecemasan dan mencilok ke sana-sini akan hanya menambahkan kesesakan.. Dan tak pernah terfikirkah mereka apakah perasaan pemandu-pemandu lain yang telah beratur berjam-jam, alih-alih mereka pula cuba memotong barisan.. Kalau aku memang tak kasi can, walaupun akan menyebabkan kecalaran kepada buah hatiku, dan pada suatu ketika sehingga menyebabkan cermin sisi orang yang cuba memotongku itu patah, namun itulah pengorbanan yang harus dilakukan bagi mengajar manusia erti pendirian..
Semasa bekerja di bidang perhotelan dulu aku sentiasa diajar dan mengajar erti empati.. Dalam setiap tugasan yang aku lakukan akan cuba aku terapkan ciri-ciri itu supaya setiap pelanggan dapat menikmati sepenuhnya percutian mereka di situ.. Mungkin kerana itu aku sentiasa menerapkan ciri-ciri ini dalam setiap pergerakan harianku, termasuk dalam pemanduan.. Aku tak ingin mengatakan bahawa aku pemandu yang bagus, ya aku akui aku juga kadang-kadang lalai dan dungu, tapi aku akan tetap memikirkan perasaan orang lain bagi setiap tindakanku.. Jadi aku amat kesal, amat amat kesal apabila ada manusia lain yang begitu mementingkan diri sendiri di jalan raya, bagai jalan itu mak bapak diorang yang punya.. Kalau betul mak bapak diorang yang punya takpelah jugak, tapi sekalipun bapak diorang bernama samy vellu, jalan itu tetap bukan mereka yang punya kerana ia dibina di atas wang cukai.. Jadi ia adalah milik kita semua dan tiada siapa yang memiliki hak mutlak terhadap jalan tersebut, hatta perdana menteri sekalipun..
Aku sebenarnya sudah lama menjeruk rasa mengenai perkara ini dan aku harap luahan hati aku ini dapat dibaca oleh rakan-rakan sepenggunaan jalan yang lain, juga pihak-pihak berwajib yang boleh mengambil tindakan bagi mengatasi masalah tersebut.. Dan aku amat berharap agar keadaan ini dapat dibaiki, bukan untuk aku sahaja tetapi untuk kesejahteraan semua..
Cewah rasa cam wakil rakyat pulak hehehe..

Recent Comments