Korang pernah tak ada satu benda yang korang nak sangat pada satu-satu masa, tapi korang tak dapat masa tu jadi menyebabkan korang hanging pada benda tu seumur hidup.. Alah macam yang Oprah Winfrey cakap masa kecik dia nak barbie doll tapi tak pernah dapat so bila dia dah kaya raya sekarang dia masih lagi kumpul barbie doll tu siap ada satu bilik khas lagi untuk barbie dollnya untuk memuaskan nafsunya hahaha camtu la lebih kurang.. Ada tak? Korang ada tak??
Ye aku tanya sebab aku rasa aku ada.. Ada beberapa sebenarnya.. Tapi yang aku nak kongsi kat sini cuma satu.. Yaitu.. Jeng.. Jeng.. Jeng..
Bukan sebarang KFC, tapi KPF Original Recipe bahagian peha.. Ye KFC Original bahagian peha adalah perkara yang saya tidak akan dapat tinggalkan seumur hidup dan ia merupakan pesanan yang akan saya pesan setiap kali saya singgah di mana-mana restoran KFC.. Hatta KFC mempunyai resepi baru sekalipun, hatta aku hendak mencuba hidangan lain sekalipun, sekurang-kurangnya mesti ada sebiji peha ayam original recipe dalam pinggan aku.. Atau hidanganku akan dirasakan tidak lengkap huhuhu..
Semuanya bermula pada zaman aku sekolah tinggi 13 tingkat kat Shah Alam dulu.. Yelah walaupun aku takdelah sesusah mana tapi perbelanjaan ada catuan jugak.. PTPTN pulak tak dapat-dapat lagi.. Yelah time matrikulasi mana dapat PTPTN kan.. Jadi perbelanjaan semuanya bergantung pada abang aku.. Dan aku pun tak berani nak mintak lebih-lebih.. Apa yang ada jelah.. So nak makan KFC tu agak jarang jugakla.. Tapi tak kesah sangat pon.. Sebab kawan-kawan pun ala-ala gak.. So okayla..
Sehinggalah kepada suatu hari apabila aku berombongan dengan kakakku pulang ke kampung tercinta di suatu malam yang hening.. Menaiki bas ye.. Sebelum menaikkan diri ke dalam bas kakakku singgah sebentar untuk ke KFC untuk membeli bekalan untuk anaknya yang berusia emm berapa tahun ya tak ingatlah okay aku bantai jelah dua tahun.. Aku pon tak heran sangat masa tu walaupun aku belum makan lagi.. Yelah sudahlah kakakku yang membelanja tiket bas, takkanlah aku hendak meminta beliau membelanja KFC pulak kan.. Lagipun dalam kepala aku masuk bas je aku nak tidur sampailah ke Ipoh nanti.. Best best dapat tidur dalam aircond kataku dalam hati..
Sementelah kitorang menyelesakan diri ke dalam bas yang dipenuhi rakyat jelata lain yang tak mampu atau tidak mahu menggunakan kenderaan sendiri untuk perjalanan sejauh tiga jam itu, bas pun bergerak menuju ke destinasi.. Aku pon mulalah nak memejam mata untuk merehatkan minda dan anggota badan sehinggalah tiba-tiba aku terhidu bau yang amat menggoda lidah dan tekakku.. Lantas akupun membuka mata untuk melihat bau yang amat menggiurkan itu.. Ya itulah bau ayam goreng KFC original recipe bahagian peha yang sedang dijamah oleh anak saudaraku itu.. Indahnya pemandangan itu apabila daging peha yang lembut dan masih panas itu digigit oleh gigi comel anak saudaraku.. Aku hanya mampu menelan air liur.. Walau perut agak kelaparan aku tidak mempunyai daya untuk meminta sedikit makanan itu daripada kakakku itu.. Jadi akupun hanya berpeluk tubuh, kembali memejamkan mata, bersandar ke kerusi dan cuba untuk tidur.. Walaupun bau yang sangat harum di malam yang hening itu bagai sengaja mencucuk-cucuk hidungku dan mempermainkan keimananku..
Sejak hari itulah aku jadi macam terkenan kepada bahagian peha KFC resepi original.. Tambah-tambah lagi sekarang bila aku dah bekerja dan mampu nak makan KFC seberapa banyak yang aku suka.. Tapi berapa ratus peha ayam aku makanpun takkan dapat memuaskan hatiku sampai bila-bila sebab masa yang aku nak sangat aku tak dapat.. Aku rasalah.. Sebab sampai sekarang ni aku masih tak jemu-jemu melantak benda yang sama..
Kesian kan..


Recent Comments