Chemorian Chapter

Just humble little words from a humble little lady about her humble little world…

Hari Pertama Ke Sekolah January 6, 2011

Filed under: dedications,ramblings — lavenderina @ 4:06 pm
Tags: , ,

Sepertimana yang anda ketahui, minggu ni adalah minggu pertama persekolahan.. Dan sepertimana orang-orang kebanyakan, aku amat tidak gemar apabila sesi persekolahan bermula.. Bukan sebab aku kena hantar anak aku pergi sekolah sebab anak aku baru berusia tak sampai dua tahun nak masuk sekolah apa kan.. Bukan jua sebab harga minyak RON97 naik sebab aku tak pakai pon RON97 lagipun beliau tidak ada kena-mengena dalam hal ini.. Sebabnya jeng jeng jeng.. Sebabnya adalah kerana aku tidak dapat lagi menikmati jalanraya yang aman tanpa kesesakan..

 

Ya sememangnya musim persekolahan mengundang, atau menambah kesesakan jalanraya.. Sebab apa? Haa ini yang kita taktau.. Mungkin kerana peningkatan pengguna jalanraya untuk menghantar mereka ini ke sekolah.. Mungkin juga kerana mak bapak yang rasa dia sorang je bayar road tax jadi dia pon park sesuka hati untuk menghantar anak ke sekolah.. Atau mungkin kerana pada musim persekolahan lebih ramai mereka yang berpakaian sekolah melepak di siber cafe dan jika ada serbuan polis mereka lari lintang pukang menyeberang jalan menyebabkan pengguna jalanraya terpaksa berhenti mengejut lantas kenderaan di belakang menghentam kenderaan di hadapan eh ini cerita apa ni??

 

Okay bagi mengurangkan energi negatif kerana nak marahkan budak-budak sekolah tak tentu pasal padahal diorang tak salah apa-apa, mari saya bercerita tentang hari pertama persekolahan saya cewah ada cam pengacara tak hehe

 

Sebenarnya saya juga tidak berapa mengingati peristiwa tersebut maklumlah baru tujuh tahun tapi tak apalah bahagian mana yang saya tak ingat saya reka-reka ajelah ya.. Anda semua redha sajalah ya hikhikhik..

 

Saya tidak ditadikakan.. Walaupun keluarga kami susah tapi itu bukan sebabnya saya tidak ditadikakan.. Saya tidak ditadikakan kerana ibu bapa saya hanya mendaftarkan saya untuk ditadikakan pada usia tujuh tahun.. Mungkin disebabkan tubuh saya yang agak kecil pada waktu itu, maka mereka tidak menyedari bahawa anak mereka sudah cukup haul untuk masuk ke sekolah rendah.. Selepas disound oleh guru tadika yang saya sepatutnya sudah masuk ke sekolah rendah, maka, dengan terburu-buru merekapun mendaftarkan saya masuk ke sekolah rendah agar saya dapat menjadi insan berguna pada suatu masa nanti..

 

Jadi sekarang anda tahu saya tidak ada pengalaman pra sekolah.. Jadi anda sepatutnya sudah faham mengapa hari pertama persekolahan saya begitu sukar.. Namun kerana saya begitu bijak walaupun hanya berusia tujuh tahun, saya pun memindahkan kesusahan tersebut kepada kakak saya muahahaha..

 

Disebabkan ibu bapa sibuk bekerja mencari rejeki untuk kami lapan beradik, kakakku ditugaskan untuk menjaga aku sepanjang hari pertama persekolahan.. Masa tu beliau bersekolah pagi dan aku sesi petang.. So lepas dia penat-penat sekolah pagi tu, dia kena la pulak stayback untuk pastikan aku okey.. Jadi aku pon memberanikan diri masuk ke kelas selepas memastikan kakakku ada menemani dari luar..

 

Kemudian dah masuk kelas macam dah biasa, kakakku cuba untuk meninggalkan aku seorang diri.. Well taklah seorang kan ada ramai kot dalam tu tapi aku tak berani lagi nak bermesra maklumlah aku kan pemalu.. So setiap kali dia nak pergi aku jerit-jerit macam orang gila macam Rosyam Nor mintak maap dekat Fauziah Nawi dalam cerita Pondok Burok.. Okey tang Rosyam Nor tu aku tipu hehe.. So nak tak nak kakak aku pon terpaksa tunggu aku dengan penuh kesabaran..

 

Sekala-sekala untuk memastikan kakakku tidak boring aku menegurnya dengan berkata “buat apa tu?” kepada kakakku yang bersandar di sebalik tingkap kaca bilik darjah yang taktau nak buat apa sebab terpaksa menunggu aku habis kelas.. Sekali-sekala tugasan-tugasan yang diberikan guru juga ku tunjuk kepada kakakku itu supaya beliau dapat menghayati kebijaksaan aku, contohnya lukisan rumah yang lebih mirip kepada pondok buruk yang dah nak roboh dan cuma ada dua tingkap senget tanpa langsir.. Kadang-kadang ku lihat wajah putihnya kemerah-merahan, pada masa itu aku ingatkan beliau tidak tahan terkena panas tapi bila difikirkan mungkin beliau sedang menahan marah..

 

Kemudian ada pula cikgu yang ramah dan bertindak di luar kawalan apabila beliau  menyuruh kakakku pulang kerana katanya aku sudah cukup besar dan pandai membawa diri dalam kelas itu.. Dengan tidak semena-mena aku terus syahdu dan menitiskan airmata kekesalan.. Kenapa cikgu tersebut mencampuri urusan rumahtanggaku? Biarlah kakak aku nak tunggu apa masalah dia? Bukannya kakak aku mintak duit dia? Aku terus menangis sekuat-kuat hati menyebabkan kakak aku tidak jadi untuk meninggalkan aku di bilik darjah itu..

 

Aku rasa dalam seminggu ada kot kakak aku terpaksa menemani, sehingga akhirnya aku berjaya berdikari dan berani bergaul dengan rakan-rakan lain dalam kelas tersebut.. Jadi hero dalam cerita ini sebenarnya adalah kakak aku yang setia menemani aku menuntut ilmu sehinggalah aku bersedia untuk berdiri di atas kaki sendiri.. Kerana tanpa beliau mungkin aku tidak akan berada di mana aku berada pada hari ini..

 

Jadi untuk kakak tercinta, terima kasih.. Budi dan jasamu dikenang sepanjang hayat..

 

Okey disebabkan syahdu jadi sekarang takde rasa nak marah budak-budak sekolah lagi.. Sungguh berkesan sekali terapi yang ku cipta ini..

 

Tapi time balik dan tersekat dalam jem nanti tak tahulah hehe..

 

 

Empati dan Pengguna Jalan Raya part 2 January 20, 2009

Filed under: piece of mind — lavenderina @ 4:50 pm
Tags: , ,

Pagi ini semasa hendak memulakan perjalanan mencari rejeki aku berharap agar tiada kesesakan lalu lintas supaya aku dapat sampai tepat pada waktunya, sementelah aku pun telah terlambat sebab tertidur semula setelah sarapan roti canai dan milo.. Aku hanya terbangun semula jam 9 pagi sedangkan aku sepatutnya mula bergerak jam tersebut bagi membolehkan aku sampai tepat pada masanya.. Maka dengan kelajuan halilintar berganda aku bersiap dan berjaya mengeluarkan diri dari rumah pada jam 9.20 pagi.. Pantas kan hehehe..

 

Tapi malangnya MRR2 sesak juga, walaupun sudah melepasi waktu puncak.. Akupun tak faham kenapa kesesakan itu berlaku jadi akupun dengan sabar memandu sambil memanjang-manjangkan mata mencari punca kesesakan tersebut..

 

Selepas melepasi sebuah susur keluar tiada lagi kesesakan di MRR2..

 

Tak perlu kemalangan..

 

Tak perlu pemeriksaan oleh polis mahupun JPJ..

 

Cuma perlu pemandu-pemandu yang mementingkan diri yang walaupun hendak keluar melalui susur ke kiri masih berada di lorong kanan sehingga lagi 2cm nak sampai ke susur tersebut barulah terhegeh-hegeh nak tukar lorong, ditambah pula dengan pemandu-pemandu di lorong tengah yang kalau boleh taknak berikan ruang untuk pemandu-pemandu busuk di lorong kanan yang nak keluar ke susur kiri ini, juga pemandu-pemandu di lorong kiri yang lembap nak mampus macam ada orang melintas setiap minit kat depan tu..

 

Kombinasi yang baik bagi mencipta kesesakan lalu lintas.. Tahniah..

 

Dan lagi satu,  aku rasa tak perlulah pemandu-pemandu di negara ini cuba menjaga had laju kenderaan lain, dengan mematuhi arahan had laju 80kmj sambil berada di lorong kanan.. Ya aku faham  dia tidak ingin melanggar arahan atau ingin menjimatkan minyak atau ingin menjaga keselamatan tetapi tidak perlulah dia memastikan orang lain juga melakukan perkara sama  dengan memandu di lorong kanan supaya orang lain tidak dapat memotong beliau justeru tidak dapat mengatasi kelajuan beliau.. Perkara itu bagaimanapun hanya akan menimbulkan kemarahan, dan mendorong pengguna yang betul-betul dalam keadaan terdesak agar menukar lorong di sini sana supaya tidak terikat dengan kelajuan tersebut, sambil berdoa agar tidak ditimpa kemalangan..

 

Lagi sekali kawan-kawan sepermanduanku sekalian, empati.. Cubalah letakkan kaki anda di kasut pemandu-pemandu lain.. Ya walaupun ia mungkin busuk namun suatu hari di masa hadapan mungkin anda juga akan mengalami situasi itu.. Fikirkanlah..

 

 

Empati dan pengguna jalan raya January 19, 2009

Filed under: piece of mind — lavenderina @ 7:48 pm
Tags: , ,

Bekerja di tempat yang jauhnya 50km dari rumah, aku merupakan pengguna jalanraya yang tegar, terutama MRR2 dan Lebuhraya PLUS menuju ke selatan..

 

Aku kurang rungutan tentang lebuhraya PLUS kerana lebuh raya tersebut kurang sibuk pada waktu-waktu biasa kecuali menjelang cuti panjang di mana orang-orang bandar biasanya berebut-rebut hendak pulang ke kampung masing-masing bagai tiada hari esok, menyebabkan kesesakan luar biasa, terutama apabila ditambah dengan hujan yang selebat-lebatnya..

 

Cuma satu kelemahan lebuh raya tersebut aku rasa adalah kerana pengguna perkhidmatan Touch n Go yang selalu terhegeh-hegeh hendak mengeluarkan kad masing-masing hanya setelah sampai di plaza tol, berbanding aku yang apabila terlihat sahaja bumbung plaza tol tersebut dari jauh sudah bersiap sedia dengan kad tersebut di tangan..

 

Sesungguhnya tabiat mengeluarkan kad Touch n Go pada saat-saat akhir itu amatlah tidak wajar kerana mampu menyusahkan orang lain, di mana aku sendiri pernah mengalaminya apabila pemandu di hadapan aku hanya terdetik untuk mengeluarkan kad tersebut apabila sudah sampai ke pondok tol itu, malangnya beliau tidak berjaya menjumpainya, sehingga menyebabkan beliau keluar dari kereta dan cuba melihat-lihat di bawah tempat duduk kereta, ya di pondok tol tersebut.. Kemudian aku yang malang ini terpaksalah mengundurkan semula kereta dan pergi ke lorong yang lain sambil memandang beliau dengan pandangan yang tajam dan kejam sambil berkata “kalau aku pijak mampoih dah dia ni” di dalam hati, sementelah beberapa minit penantianku agar beliau menjumpai kad Touch n Go beliau tidak berhasil..

 

Nah jikalau beliau bersiap sedia dari awal sudah tentu beliau dapat mengesan kehilangan kad itu sedari awal, justeru beliau boleh berhenti di lorong kecemasan atau kawasan rehat untuk mencari kad itu, justeru kejadian memalukan yang menyebabkan perjalanan beliau, aku sendiri dan pemandu-pemandu lain terganggu itu tidak akan berlaku.. Semudah itu..

 

Mengenai MRR2 pula, boleh dikatakan aku mempunyai hubungan cinta-benci (love-hate relationship) dengan lebuh raya ini.. Aku amat mempunyai masalah dengan jalan ini, dari segi jalannya dan juga pemandu-pemandu lain yang menggunakannya..

 

Dari segi jalan, MRR2 memanglah tidak memuskan hati berbanding kos pembinaannya yang melebihi RM238 juta, ditambah pula dengan kos membaik pulih keretakan sebanyak RM70 juta tidak lama dahulu.. Dengan lubang yang punyalah mengambil masa untuk dibaiki, juga penutup-penutup lubang (yang dikorek untuk tujuan apa aku tak tahu) yang amatlah berselerakan sehingga kalau nak memecut pun terpaksa mengelak di sana sini.. Bayangkan kalau aku kerja sejauh 50 km, takkanlah aku nak memandu 50km/j, pukul berapa baru aku nak sampai kan..

 

Pemandu-pemandunya pula tak kurang hebatnya.. Sudahlah jalan tersebut sememangnya akan jem sementelah penggunanya ramai, terutama bagi perjalanan menghala ke Ampang pada waktu puncak.. Tetapi yang paling menyakitkan hati adalah pemandu-pemandu yang tergolong dalam jenis oh-aku-sorang-je-yang-dah-lambat-pegi-keje-so-korang-semua-tepi-sikit.. Aku pun tak faham kenapa ada manusia dilahirkan dalam jenis ini.. Tak pernah terfikirkah mereka, tindakan menggunakan lorong kecemasan dan mencilok ke sana-sini akan hanya menambahkan kesesakan.. Dan tak pernah terfikirkah mereka apakah perasaan pemandu-pemandu lain yang telah beratur berjam-jam, alih-alih mereka pula cuba memotong barisan.. Kalau aku memang tak kasi can, walaupun akan menyebabkan kecalaran kepada buah hatiku, dan pada suatu ketika sehingga menyebabkan cermin sisi orang yang cuba memotongku itu patah, namun itulah pengorbanan yang harus dilakukan bagi mengajar manusia erti pendirian..

 

Semasa bekerja di bidang perhotelan dulu aku sentiasa diajar dan mengajar erti empati.. Dalam setiap tugasan yang aku lakukan akan cuba aku terapkan ciri-ciri itu supaya setiap pelanggan dapat menikmati sepenuhnya percutian mereka di situ.. Mungkin kerana itu aku sentiasa menerapkan ciri-ciri ini dalam setiap pergerakan harianku, termasuk dalam pemanduan.. Aku tak ingin mengatakan bahawa aku pemandu yang bagus, ya aku akui aku juga kadang-kadang lalai dan dungu, tapi aku akan tetap memikirkan perasaan orang lain bagi setiap tindakanku.. Jadi aku amat kesal, amat amat kesal apabila ada manusia lain yang begitu mementingkan diri sendiri di jalan raya, bagai jalan itu mak bapak diorang yang punya.. Kalau betul mak bapak diorang yang punya takpelah jugak, tapi sekalipun bapak diorang bernama samy vellu, jalan itu tetap bukan mereka yang punya kerana ia dibina di atas wang cukai.. Jadi ia adalah milik kita semua dan tiada siapa yang memiliki hak mutlak terhadap jalan tersebut, hatta perdana menteri sekalipun..

 

Aku sebenarnya sudah lama menjeruk rasa mengenai perkara ini dan aku harap luahan hati aku ini dapat dibaca oleh rakan-rakan sepenggunaan jalan yang lain, juga pihak-pihak berwajib yang boleh mengambil tindakan bagi mengatasi masalah tersebut.. Dan aku amat berharap agar keadaan ini dapat dibaiki, bukan untuk aku sahaja tetapi untuk kesejahteraan semua..

 

Cewah rasa cam wakil rakyat pulak hehehe..

 

 

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.